NATURAL REMEDIES

ISLAMIC CALENDAR

Monday, December 19, 2011

Pemimpin Korea Utara meninggal dunia

SEOUL, Korea Selatan - Kematian pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il mengejutkan dunia tetapi penganalisis-penganalisis politik menepis kebimbangan akan berlaku ketidaktentuan di negara kuasa nuklear berkenaan.

  Kim Jong il

Mereka berkata, proses pertukaran kepimpinan Korea Utara dirancang dengan teratur dan lancar.
Pengumuman rasmi media Korea Utara semalam mendedahkan bahawa Jong-il meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lepas ketika berusia 69 tahun. 

Ia turut menyatakan anak lelaki bongsu Jong-il yang juga pewarisnya, Kim Jong-un yang berusia lewat 20-an kini mengambil alih tonggak pemerintahan negara, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Namun, perkembangan tersebut mendorong Korea Selatan meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kebimbangan ancaman perang. 

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak pula menggesa orang ramai supaya bertenang.

"Saya berpendapat tiada pergolakan serta-merta dalam politik dalaman atau hal ehwal luar Korea Utara," kata penganalisis politik Institut Sejong, Paik Hak-soon.

Media Korea Utara menggesa rakyat supaya taat setia kepada kepimpinan Jong-un dengan agensi berita rasmi negara berkenaan menggelarnya sebagai pewaris besar.

"Semua ahli parti, petugas awam dan orang kebanyakan perlu setia pada bimbingan Kim Jong-un dan melindungi seterusnya mengukuhkan lagi penyatuan antara parti, tentera dan rakyat," kata agensi berita tersebut.

Para pemerhati politik menepis kebimbangan berlakunya pergolakan kuasa atau rampasan kuasa dalam masa terdekat ekoran kematian Jong-il.

"Tiada pergolakan (sehingga kini) bermakna kuasa Jong-un kini kukuh dan semua pegawai kanan di bawah Jong-il memutuskan sejak dua hari selepas kematiannya untuk menyokong Jong-un sebagai pemimpin baharu," kata Paik.

"Pegawai-pegawai kanan Korea Utara telah menyusun semuanya dan rejim komunis nampak stabil di bawah kepimpinan baharu. Saya tidak nampak pergolakan besar atau pergelutan kuasa berlaku dalam masa terdekat." 

"Era Kim Jong-un sudah bermula." tambahnya.

Tidak banyak yang diketahui tentang Jong-un. 

Mendapat pendidikan di Switzerland, beliau dilihat akan meneruskan kesinambungan generasi ketiga dinasti Kim.

Berusia lewat 20-an, Jong-un kurang dikenali umum sehingga bapanya mengalami strok pada 2008 sekali gus memaksa pelan pertukaran kepimpinan dipercepatkan.

Jong-un dipercayai boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Jerman dan Perancis. 

Namun, pakar-pakar politik memberi amaran beliau tidak semestinya berjiwa reformasi walaupun tinggal di Barat selama beberapa tahun.

"Saya tidak mahu membuat sebarang rumusan walaupun beliau pernah tinggal setahun dua di Eropah ketika masih kanak-kanakI," kata pembantu profesor di Sekolah Graduan Kajian Antarabangsa Universiti Yonsei, John Delury.

"Namun, anda tahu beliau masih muda dan generasi berubah walau apa dan di mana anda berada di dunia termasuk Korea Utara, jadi beliau akan mempunyai orientasi yang berbeza," tambahnya.


Menurut memoir seorang lelaki yang menyatakan dia pernahbekerja dengan keluarga Kim selama 11 tahun sebagai cef sushi, Jong-un seorang yang keras hati dan bercita-cita tinggi seperti bapanya.

Cef berkenaan yang menggunakan nama pena Kenji Fujimoto, menyifatkan Jong-un sebagai seorang yang suka bersaing malah, tidak berhati perut semasa zaman kanak-kanak.

Memakai seragam tentera, Jong-un yang masih muda ketika itu "merenung saya dengan cara yang menakutkan apabila kami berjabat tangan semasa pertama kali bertemu," kata Fujimoto dalam buku memoir, Kim Jong-il's Chef. 

"Saya tidak boleh melupakan renungan tersebut yang seperti menyatakan "inilah orang Jepun yang keji."
Beliau paling minat bermain bola keranjang dan meminati pasukan Chicago Bulls, kata cef berkenaan.

"Beliau juga gemarkan filem seperti bapanya. Dari sudut rupa paras, cita rasa dan personaliti, anak bongsu Jong-il saling tak tumpah seperti bapanya dan ketika itu jelas bahawa dia anak kesayangan bapanya," kata Fujimoto.

Pada September 2010, Jong-un diberikan jawatan kanan dalam parti dan dilantik jeneral empat bintang walaupun beliau tiada pengalaman dalam peperangan. 

Sejak dari itu, beliau sering dilihat mengiringi bapanya.

Satu-satunya saudara perempuan Jong-il, Kim Kyong Hui dan suaminya, Jang Song-thaek yang dianggap pemimpin nombor dua tidak rasmi Korea Utara dijangka menjadi mentor Jong-un dan menyokong kepimpinan beliau.

Seorang penganalisis Institut Analisis Pertahanan Korea, Baek Seung-joo berkata, Korea Utara bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi kematian Jong-il sejak beliau mengalami strok pada 2008.

"Buat sementara waktu, tentera dan keluarga Kim akan cuba mendokong Jong-un sebagai ketua mereka dan bersatu di bawahnya," kata Seung-joo.

Namun, Jong-un yang kurang pengalaman dan berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan makanan, dilihat tidak akan melaksanakan sebarang agenda besar.

"Beliau tidak akan melakukan perubahan dasar drastik ketika cuba mengukuhkan kuasa. Beliau akan cuba berkongsi kuasa atau mewujudkan perikatan strategik dengan pemimpin-pemimpin kanan tentera," kata Baek.

"Pergelutan kuasa mungkin berlaku pada masa depan kerana Jong-un tidak mendapat sokongan penuh rakyat," katanya sambil menambah, tanpa mandat popular kedudukan Jong-un boleh tergugat. - Agensi