NATURAL REMEDIES

ISLAMIC CALENDAR

Thursday, September 2, 2010

BETUL MEMANG NORMAN HAKIM DAN MEMEY NAK KAHWIN

SUDAH lama tidak melihat lirikan senyuman Norman Hakim yang bersungguh-sungguh.
Cahaya kebahagiaan terpancar pada wajah aktor kacak itu apabila berada di sisi bakal tunangannya, Memey Suhaiza.

Muncul sedondon dengan busana berona fuschia pada majlis berbuka puasa di Hotel Istana, Kuala Lumpur, petang kelmarin, pasangan merpati sejoli itu seakan tahu pihak media mahu mendapatkan kepastian selanjutnya mengenai majlis penting mereka pada awal Syawal nanti.

Selepas berbuka, Norman, 34, dan Memey, 22, terus ditarik ke satu sudut oleh wartawan lalu bercerita mengenai status hubungan mereka ketika ini serta majlis pertunangan yang akan berlangsung pada 13 September ini di kampung Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

"Dah lama juga saya terfikir untuk mengikat pertunangan dengan Memey. Dalam tahun ini juga terlintas niat ke arah itu, tapi kami tercari-cari tarikh sesuai," Norman bersuara.

Sambungnya lagi: "Kalau hendak dikirakan sibuk, memang sampai bila pun kerja kita tak pernah habis.

"Jadi pada minggu pertama puasa baru-baru ini, saya pergi bertemu keluarga Memey di Kota Tinggi untuk meluahkan hasrat pertunangan kami itu dan pada minggu kedua, saya memaklumkan perkara yang sama kepada keluarga saya di KL. 

"Jadi, kami dah capai kata sepakat untuk bertunang pada 13 September 2010 sebab semua ahli keluarga dan adik beradik masih bercuti raya," katanya.

Norman berkata lagi, dia dan Memey hanya mahukan sebuah majlis sederhana, tetapi terselit adat merisik, menyerahkan hantaran, menyarung cincin dan seterusnya berbincang mengenai ketetapan perkahwinan mereka kelak.

"Kami belum tetapkan lagi tarikh pernikahan kami, tetapi harap-harap awal tahun depanlah. Semuanya akan ditentukan kemudian dan kami akan beritahu wartawan nanti," ujar Norman.

Soalan kemudian beralih kepada Memey yang dipanggil 'sayang' oleh Norman mengenai perasaannya apabila disunting menjadi calon isteri.

"Saya terlalu gembira dan bersyukur dengan keputusan Abang Norman. Saya gembira kerana hubungan kami berterusan dengan sesuatu yang baik dan semoga kami akan dapat disatukan nanti.

"Sebenarnya, semua perasaan ada - gembira, bersyukur, takut dan berdebar. Saya kena mula buat persiapan dari sekarang untuk menjadi bakal isteri kepada Abang Norman dan ia satu lagi pengalaman baru dalam hidup saya.

"Saya akui saya masih muda, baru 22 tahun. Berbanding remaja lain, banyak yang perlu saya korbankan seperti membina kerjaya, berdepan bermacam dugaan dan kalau tiada aral, akan bernikah pada usia yang muda. Namun saya reda kerana semua ini ada hikmahnya dan membuatkan saya lekas matang," kata Memey.

Ditanya sama ada hubungannya semakin mesra dengan anak-anak Norman daripada perkahwinan terdahulu bersama Abby Abadi, Memey tersenyum seraya mengangguk.

"Ya, alhamdulillah semuanya baik. Mereka manja dengan saya dan panggil saya 'mummy'," jawab Memey ringkas.

Meskipun kes perbicaraan khalwat mereka masih berlangsung di mahkamah syariah, Norman berkata ia bukan halangan untuk mereka bertunang.

Baginya, prosiding itu adalah satu prosedur undang-undang dan dia mahupun Memey akan tetap memberikan kerjasama dan bercakap perkara yang benar.

"Saya harap semuanya akan berakhir dengan selamat. Bagi saya, kita harus melihat yang baik di depan dan memperbaiki kelemahan diri yang ada di belakang.
Sebenarnya debaran ini adalah lebih kepada saya kerana ini bakal menjadi perkahwinan kedua saya.

"Apapun terjadi, saya tetap percayakan kepada institusi kekeluargaan dan mahukan keberkatan dalam hidup dengan Memey.

"Apa yang penting, hubungan kami mendapat restu keluarga dan segala persiapan untuk pertunangan ini diatur oleh keluarga kami," kata Norman.

Norman mahupun Memey sedar, dalam percintaan dugaan pasti ada. Antara cabaran itu adalah gosip yang mengatakan hubungan mereka retak baru-baru ini kerana kononnya Memey sudah ada kekasih baru.

"Itu semua tak betul. Apabila terbaca gosip mengatakan hubungan kami retak, saya terus memberitahu Abang Norman. Bagi saya tidak ada apa-apa yang seharusnya disorok kerana kami percaya kepada keikhlasan.

"Abang Norman banyak bagi nasihat dan dia tidak lekas melatah. Saya memang ada ramai kawan dan mungkin orang salah tafsir," jelas Memey.

Bercerita lebih lanjut mengenai majlis pertunangan mereka itu, majlis doa selamat akan dilangsungkan di kediaman orang tua Norman di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada 12 September ini.

Keesokannya, rombongan pihak lelaki akan berkonvoi ke Felda Tenggaroh Selatan 1 dan dijangka tiba di sana awal petang.

Seterusnya, majlis pertunangan itu akan diadakan di rumah keluarga Memey selepas Asar dan pada sebelah malam pula, satu majlis BBQ akan diadakan di sebuah lokasi berdekatan.

Untuk hari bahagia itu, Memey berkata dia akan mengenakan busana 'off-white' rekaan Ezuwan Ismail. Pihaknya dijangka menyediakan tujuh hantaran sebagai balasan lima daripada pihak Norman.

Dari sudut lakonan pula, walaupun mereka hangat bercinta, mereka jarang dipertemukan bersama di lokasi.

Namun untuk tayangan Aidilfitri nanti, Norman dan Memey akhirnya akan muncul bersama dalam telefilem Ghia di RTM.

Menariknya, Memey memegang watak adik ipar Norman yang 'memperisterikan' Dynas. Memey akui seronok berlakon bersama Norman dan banyak bertukar-tukar fikiran di lokasi penggambaran.

Ketika ini, Norman masih sibuk dengan penggambaran drama arahan Erma Fatima, Sabar dan Memey pula, Osman Berani sentuhan Jebat.

Meskipun kedua-dua sibuk dengan tugas masing-masing, mereka tetap cuba meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama. Dari bahasa tubuh mereka ketika ini, dapat dilihat kedua-duanya sangat bahagia dalam menghitung hari. 

>Profil
NAMA SEBENAR: Mohamed Nurhakim Zaidon
NAMA KOMERSIAL: Norman Hakim
TARIKH LAHIR: 8 Januari 1976
ASAL: Kuantan, Pahang
STATUS: Duda
KERJAYA: Pelakon
ANAK: Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5, dan Maria Danisha
Hakim, 2
ANTARA DRAMA: Idaman, Layar Impian, Tahta Hati, Bermula Disini, Insurgensi, Gerak Khas, Ikon, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya
ANTARA FILEM: Nafas Cinta, Pasrah, Gerak Khas, Idola, Gerak Khas The Movie, Gila-Gila Pengantin, Gerak Khas 3 dan Gila-Gila Pengantin Popular, Kayangan, Skrip 070707, Dunia Baru The Movie


>Profil
NAMA SEBENAR: Suhaiza Suhaimi
NAMA KOMERSIAL: Memey Suhaiza
TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988
TEMPAT LAHIR: Hospital Kota Tinggi, Johor
STATUS: Bujang
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon
PENDIDIKAN: Sijil Pendidikan Malaysia (SPM)
ANTARA DRAMA: Graduan, Elit, Pasrah, Dunia baru 3, Farah Syakira, Lara Rindu Mahsuri, Roda-Roda KL dan Tragedi Oktober
E-mel: may_suhaiza@yahoo.com.my

sumber dari harian metro

No comments:

Post a Comment

nisa