KEBIASAANNYA artis yang menutup aurat jarang dilihat tampil di dalam
kaca televisyen melakukan adegan berpelukan mahupun berpegangan tangan.
Namun, bagi pendatang baru industri lakonan, Fida atau nama sebenarnya
Rafidah Ibrahim dilihat telah memecah norma sopan yang telah dibentuk
sejak awal dia memasuki industri ini beberapa tahun lalu.
Fida telah melakukan babak berpelukan bersama aktor Iqram Dinzly di
dalam drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan di saluran TV3.
Melihatkan babak tersebut, ramai yang berpendapat mungkin tidak manis
bagi seorang wanita muslimah bertudung litup bersetuju untuk melakukan
adegan itu. Namun, bagi gadis berumur 27 tahun ini, dia ada alasan
tersendiri terhadap persoalan mengapa babak tersebut terjadi.
"Pertama sekali, Fida ingin meminta maaf jika ada peminat yang terasa
dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, perkara itu terjadi secara
spontan. Ketika itu babak kami dihalau dari wad dan ia babak yang sangat
sedih.
"Mungkin kerana terlalu menjiwai, Iqram secara tidak sengaja tertarik
Fida dan jika dilihat dari mata kasar memang nampak seperti kami
berpelukan, namun pada hakikatnya tidak.
Tapi bila perkara-perkara
sebegini berlaku, Fida sebagai pelakon perlu bersedia menghadapi semua
ini," jelas anak kelahiran Kuala Lumpuri itu yang mengatakan semua ini
dipelajari dari kesilapan lalu.
Tambah Fida, pengalaman sebelum ini telah memberi kesedaran buat dia
untuk menghormati dan mendengar arahan 'cut' dari pengarah.
Katanya,
sebagai orang baharu yang hanya berbekalkan pengalaman dua tahun dalam
industri lakonan, siapalah dirinya untuk mendahului pengarah.
Cerita gadis itu lagi, pernah beberapa kali sebelum ini
memberhentikan babak yang dilakonkan kerana dirasakan tidak sesuai
dengan dirinya. Namun, insiden itu telah menyebabkan dirinya ditegur
beberapa kali dan pernah juga dimarahi.
Menjelaskan apa yang berlaku, cerita Fida sebenarnya dia menggunakan
tekniknya tersendiri untuk melakonkan babak tersebut. Apa yang dilihat
mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku. Jelas Fida, Iqram ketika itu
tidak memeluknya erat.
"Apa yang boleh Fida lakukan ialah Fida gunakan teknik sendiri. Jika
perasan, Fida meletakkan tangan kiri di bahagian hadapan badan dan Iqram
hanya meletakkan tangannya ke bahu Fida. Fida terkejut sebenarnya
dengan tindakan Iqram namun Fida tidak boleh berbuat apa-apa.
"Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja dan sebagai pelakon
baharu, Fida perlu ikut apa yang dimahukan pengarah, namun perkara
tersebut berlaku dengan cepat kerana apabila kita melakonkan sesuatu
babak terutamanya yang bermain dengan emosi, kadangkala ia terlepas,"
jelas Fida mengenai babak yang menjadi kontroversi itu.
Apa yang pasti, jika pernah mengenali dan berjumpa dengan juara Siti
Nurhaliza Mencari Bintang Pantene ini, dia agak terbuka jika dibanding
dengan aktres muda muslimah yang lain. Fida tidak kisah untuk bersalaman
dan bergambar rapat bersama lelaki.
Menjawab persoalan tersebut, Fida yang ditemui pada majlis rakaman
Melodi Raya terbitan TV3 baru-baru ini menjelaskan, pada pendapat
dirinya, apabila seseorang menghulurkan tangan untuk bersalaman, jika
kita menolak ia ibarat mengaibkan lelaki itu di hadapan orang ramai yang
terlihat.
"Memang perkara seperti itu tidak patut berlaku, namun bagi pendapat
Fida, banyak lagi perkara lain yang kita perlu ikut dan rasanya ini
bukanlah perkara besar.
"Ini kerana, banyak lagi perkara berat yang kita perlu
dititikberatkan. Cuma, jika perkara sebegini berlaku, janganlah kita
terlalu ingin menjaga maruah dan tatasusila sehingga mengaibkan orang
lain," ujar Fida jujur mengakui perkara yang dilakukannya.
Serius dengan Mamat
Cerita cinta Fida dan Mamat dari Kumpulan Sepah bukanlah perkara
baharu yang perlu disorokkan lagi. Walaupun begitu, kisah percintaan
mereka masih kabur dan tidak begitu jelas memandangkan kedua-duanya
tidak memberikan jawapan yang pasti sebelum ini dan hanya gambar dan
khabar angin yang tersiar dalam laman web.
Namun, baru-baru ini, Mamat sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dia
mahu merisik Fida untuk dijadikan isteri. Namun, bagi Fida, seperti
perjalanan kariernya yang masih baharu, begitu juga perhubungannya
bersama Mamat.
Ujarnya, tempoh enam bulan merupakan tempoh yang masih segar dalam
sesebuah perhubungan dan mereka berdua telah mengambil kata sepakat
untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu.
"Saya akui dia lelaki yang paling rapat dengan saya setakat ini. Tapi
kami ingin kenal dengan lebih dekat lagi. Fida tertarik dengan
kejujuran yang ditunjukkan oleh Mamat.
"Oleh itu, Fida beri peluang kepada dirinya dan diri Fida sendiri
ruang untuk mengenali diri masing-masing. Sebelum ini juga, Fida tidak
pernah dikaitkan dengan sesiapa," tutur Fida sambil tersenyum manis saat
berbicara mengenai kisah cintanya.
Katanya dia tertarik dengan Mamat kerana walaupun perangainya yang
mungkin gila-gila, namun dia punyai satu bahagian lain yang menampilkan
ciri-ciri kemelayuan.
Diambil sebagai contoh, semasa membuat promosi filem terbaharu
mereka, Fida tertarik dengan tandatangan yang diturunkan oleh Mamat yang
dtulis dalam tulisan jawi. Pertama kali terlihat seorang artis berbuat
begitu, hatinya terus terpaut meminati jejaka tinggi lampai itu.
No comments:
Post a Comment
nisa