Petikan daripada Kosmo online hari ni.
Di periksa sebelum memasuki pasaraya
SEAWAL pukul 6.30 pagi, kelibat pejalan kaki sudah tampil mengisi ceruk-ceruk ruang di sekitar pusat beli-belah Inorbit di bandar Mumbai, India.
Telahan bahawa peniaga sudah mula berjual beli disangkal sama sekali. Ini kebanyakan pejalan kaki lebih tertumpu di laluan yang agak terpinggir di sekitar bangunan tersebut termasuk tempat letak kereta.
Ironinya, setiap pagi sekumpulan pejalan kaki dan pelari di daerah utara bandar Malad berkumpul untuk bersenam sebelum memulakan tugasan harian mereka.
"Berjalan membuatkan saya bertenaga dan bersemangat untuk memulakan hari-hari baharu saya," ujar seorang penduduk tempatan, Ravi Wikar yang mengulangi rejim harian berjalan dan naik turun eskalator sekitar bangunan tersebut.
Ravi, seorang usahawan berusia 37 tahun yang lengkap bertopi besbol dan menyarung sehelai baju putih bersama sut balapan merah dan berkasut sukan berkongsi rutin hariannya kepada penulis.
"Saya berjalan setiap pagi bermula pukul 6.30 pagi lagi dan jarak biasa yang saya ambil adalah sejauh tiga kilometer," ceritanya.
Konsep menjadikan pasar raya tertutup itu sebagai lokasi untuk bersenam bukan dianggap situasi yang janggal bagi 50 penduduk warga emas yang menghidap kencing manis dan artritis.
Lokasi strategik warga Malad itu tercipta bukan atas keperluan sebenar dalam senario kegawatan ekonomi dan modal liburan India.
Selesa
Urbanisasi semberono bandar tersebut telah menyaksikan kebanyakan ruang hijau bumi dilitupi binaan konkrit untuk perumahan dan pejabat.
Jalan raya dan laluan tidak diselenggara sebaiknya sementara kemerosotan sistem trafik beradun pemanasan melampau mencambahkan tahap pencemaran udara dan habuk tebal yang berbahaya.
Oleh itu, aktiviti riadah dan bersenam amat sukar dilaksanakan melainkan pada awal pagi sebelum kota Mumbai mulai bernafas.
Permukaan pusat beli-belah tersebut yang rata berserta kelengkapan lantai tar di parkir kenderaan mengurangkan tekanan pada sendi-sendi penduduk berusia untuk melakukan aktiviti di sana.
"Jika terjatuh, seseorang boleh membantu saya bangkit. Tapi kalau di taman-taman tiada siapa boleh membantu saya," kata teman rapat Ravi, Ranjan Kar yang merupakan seorang pesara eksekutif media
Tambah pejalan kaki itu, lokasi tersebut dilengkapi dengan pencahayaan yang cukup di samping kawalan keselamatan yang lengkap.
Sesiapa yang berjalan di dalam kawasan pasar raya tersebut pasti akan melalui pemeriksaan khas pengesanan besi untuk menjamin tiada alatan berbahaya dibawa masuk.
"Kalau menggunakan jalan raya ada kemungkinan kita akan diragut," kata Ravi sambil menyembunyikan rantai emas di lehernya.
Tambah bekas pelukis pelan pula, Prabhakar Kishambare, 70, yang mewajibkan dirinya mengelilingi parkir kenderaan tersebut sebanyak empat kali sehari, kedamaian yang diperoleh di lokasi itu sukar dicari di tempat lain.
"Pasar raya ini amat menenangkan, sunyi dan tiada asap-asap tebal daripada ekzos kenderaan.
"Ia adalah ruang terbuka yang menarik, bersih dan ada persekitaran sekeliling yang sangat baik," ujarnya.
Populasi tak setara
Bagi Neera Punj yang merupakan seorang ahli majlis Forum Penduduk Ruang Perbandaran dan Perlindungan Awam (CitiSpace), kemunculan pusat beli-belah berkonsep sedemikian mengundang pelbagai senario berbeza kepada Mumbai.
"Kondisi ruang awam yang berbaki kini amat menyedihkan, maka sebab itulah bilangan pejalan kaki di pasar raya kian meningkat," katanya.
Pihaknya menganggarkan hanya 940 ekar (380 hektar) taman dan kawasan rekreasi yang tinggal untuk populasi berjumlah 14 juta orang.
Berbanding ibu kota London yang berjumlah hampir lapan juta penduduk dan mempunyai 10 kali ganda ruang awam terbuka.
"Ruang yang diperuntukkan di India amat kecil jika dibandingkan dengan keluasan yang disarankan," tambah Neera.
Menurutnya lagi, ruang bukan sesuatu yang dianggap mewah sebaliknya ia adalah satu mandatori dan keperluan hakiki seseorang.
CitiSpace bukan satu-satunya pihak yang prihatin terhadap peruntukan ruang terbuka kepada penduduk dan kesannya terhadap kesihatan.
Namun, firma perundingan Ernst and Young dalam satu kenyataan pada tahun lalu memberitahu kekurangan ruang untuk bersukan di bandar India adalah antara faktor yang menyumbang kepada kurangnya kejayaan dalam sukan selain kriket.
Berdasarkan kajian juga, kurang lima peratus daripada 1.21 bilion populasi negara India mempunyai akses cukup untuk kemudahan bersukan.
Kemudahan bersukan mungkin wujud namun, biasanya di kelab-kelab persendirian yang bergantung pada keupayaan untuk membiayainya sekali gus mencipta jurang antara golongan berada dan kurang berkemampuan.
Neera tidak menghalang kewujudan pejalan kaki di pasar raya tertutup sebaliknya memandang senario itu sebagai satu inisiatif yang menjimatkan untuk menggunakan ruang awam seadanya.
Bicara Ravi mengakhiri bualan; "Aktiviti ini juga amat bersesuaian bagi yang gemarkan window shopping." - AFP
No comments:
Post a Comment
nisa