NATURAL REMEDIES

ISLAMIC CALENDAR

Sunday, September 11, 2011

BINTANG DARI SOMALIA


 Fatima

SEJAK kecil lagi Fatima Siad, 25, melalui kehidupan dalam suasana yang cukup getir di bandar kelahirannya di Mogadishu, Somalia. 

Dia bukan sahaja dibesarkan dalam persekitaran kehidupan yang bergolak, kebahagiaan zaman kanak-kanaknya juga bagaikan direntap apabila ibu dan bapanya bercerai ketika usianya begitu muda.
"Selepas berpisah, ibu sendirian membesarkan kami yang masih kecil. 

"Pada masa itu kekacauan ada di mana-mana dan kami sentiasa dibayangi ketakutan," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik yang kesemuanya perempuan itu. 

Hidup dalam keadaan serba kekurangan di kawasan yang tidak pernah aman, Fatima mengakui keluarganya tidak pernah mengecapi suasana tenteram.

"Keadaan lebih buruk selepas tahun 1991. Waktu itu semua orang susah. 

"Peperangan menyukarkan golongan dewasa keluar bekerja dan harga barang makanan menjadi sangat mahal. 

"Lantaran itu, kami sering keputusan bekalan makanan, apatah lagi yang berzat. 

"Kadang-kadang dari pagi sampai ke malam, kami hanya mengalas perut dengan sekeping canjeero (makanan seperti pankek tetapi sedikit tebal) dan minum air putih," katanya yang menganggap dirinya bernasib baik jika dibandingkan dengan puluhan rakan sepermainannya yang mati kebuluran.

Lapan tahun hidup dalam keadaan tidak menentu, ibu Fatima nekad membawa dia dan dua adiknya melarikan diri dari Somalia. 

"Bagaimanapun, sedang ibu sibuk berkemas, tentera kerajaan telah menggempur kediaman kami dan menembak mati kedua-dua adik saya yang ketika itu hanya berusia lapan dan 10 tahun.

Ditembak

"Mereka rebah di hadapan mata kami. Saya hanya mampu menangis ketakutan di belakang badan ibu sambil merayu kami tidak diapa-apakan," imbas Fatima yang berusia 13 tahun ketika kejadian itu berlaku. 

Enggan bertahan lebih lama di Somalia, pada tahun yang sama, Fatima bersama ibunya terbang ke Boston, Amerika Syarikat (AS) atas tiket pelarian perang. 

"AS adalah dunia yang cukup asing dan mencabar untuk saya. 

"Di sana, saya terus dimasukkan ke gred tujuh ESL (Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) tetapi sepatah perkataan Inggeris pun saya tidak tahu.
"Kerana itu, saya tidak ada kawan dan tiada keyakinan diri. Namun, saya tidak mahu membiarkan diri saya ketinggalan.
"Saya mula belajar bahasa Inggeris dan tekun ketika di kelas. 

"Walaupun terpaksa bersaing dengan pelajar sebaya dari AS, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaaan dan diterima masuk ke Universiti New York dalam bidang Praperubatan dan Sains Politik," jelas pemilik figura hitam manis yang terkenal selepas menyertai pertandingan supermodel, America's Next Top Model musim ke-10 pada tahun 2008.

Pemberontak

Dalam pertandingan realiti itu, Fatima mendapat tempat ketiga daripada 14 peserta yang mengambil bahagian. 

Kini, dia bergiat aktif dalam dunia peragaan pentas di AS. 

"Saya mula menceburi bidang peragaan ketika di kolej. Saya nekad untuk keluar dari kolej dan serius dalam dunia peragaan.

"Ketika saya beritahu ibu saya, dia sangat terkejut dan marah kerana dia memang mahu saya menjadi doktor, rupa-rupanya dia marah kerana saya tidak memberitahunya terlebih awal," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada ibunya. 

Selain Fatima, terdapat ramai lagi model kelahiran Somalia yang berjaya menempa nama di pentas peragaan antarabangsa. 

Antaranya, Iman Mohamed Abdulmajid atau Iman, Waris Dirie, Urbah Hassan dan Yasmin Warsame. 

Iman yang diangkat sebagai ikon fesyen kelahiran Somalia bukan sahaja berjaya sebagai peragawati terkenal malah dia juga mempunyai empayar perniagaan kosmetik di bawah jenama Iman. 

Aktivis kebajikan yang petah bertutur dalam bahasa Inggeris, Somalia, Arab, Itali dan Perancis ini turut aktif dalam dunia lakonan. Baru-baru ini, Iman turut merayu bantuan dunia bagi membantu masyarakat Somalia yang dilanda kebuluran dan peperangan. 

Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Al-Jazeera, Iman merayu bantuan kemanusiaan segera dihulur kepada jutaan rakyat Somalia yang sedang menunggu ajal akibat kebuluran disebabkan kemarau panjang. 

Dia yang dilahirkan di Mogadishu juga pernah membuat liputan mengenai krisis makanan pada tahun 1992 bersama British Broadcasting Corporation (BBC). 

"Walaupun pernah melihat sendiri kemelaratan rakyat Somalia akibat kebuluran 19 tahun yang lalu, saya percaya krisis kali ini jauh lebih buruk. 

"Apa yang lebih menyayat hati, banyak bantuan yang dihulur dari seluruh dunia tetapi tidak sampai ke tangan rakyat disebabkan sekatan oleh puak pemberontak. 

"Dalam situasi genting seperti ini, tindakan tersebut hanya memburukkan keadaan malah secara peribadi, saya melihatnya sebagai pelenyap kepada generasi masa depan Somalia," katanya.

Terpisah

Melihat kepada kemelut kebuluran dan perang saudara yang semakin mendesak, Iman merayu puak pemberontak supaya mengetepikan krisis politik demi kelangsungan hidup 10.7 juta rakyat negara itu. 



 Urbah

Selain Iman, Urbah, seorang model yang membesar di Baidoa yang terletak di selatan Somalia, ialah antara mangsa pelarian perang yang menempa nama di arena peragaan antarabangsa. 

Kegawatan politik yang melanda negara Tanduk Afrika itu menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa berpisah selama 10 tahun.

"Kami tidak mampu bertahan di Somalia kerana setiap hari kami melihat orang awam dibunuh.
"Ibu dan adik saya lari menyelamatkan diri ke Kanada manakala saya, bapa dan adik lelaki menjadi pelarian di Kenya.

"Selepas menjalani kehidupan sukar, keluarga kami hanya dapat bersatu pada 2001 di Vancouver, Kanada selepas sedekad terpisah," kata Urbah yang bakat peragaannya dicungkil oleh seorang jurugambar profesional yang menyapanya di sebuah taman ketika berusia 17 tahun. 

Menurut Urbah, situasi menjadi lebih teruk apabila puak pemberontak mula menindas golongan Muslim di sana.
"Kaum lelaki yang beragama Islam adalah sasaran mereka. 

"Keadaan lebih teruk jika lelaki tersebut adalah golongan terpelajar yang turut sama membantah keganasan. 

"Akibatnya, bukan sahaja lelaki itu yang dibunuh, semua ahli keluarganya mungkin menjadi mangsa kekejamaan puak pemberontak," ujar Urbah.

1 comment:

  1. sori nisa saya tumpang lalu..
    http:// tinyurl.com/aku -dah- kurus

    ReplyDelete

nisa