Sedih pulak bila terbaca cerita ni dekat Kosmo. Jom baca sesama berita ni, petikan daripada Kosmo online.
KALI pertama Hla Myint melihat laut ketika dia dibawa penyeludup
buruh paksaan ke pesisir laut Thailand selepas meredah hutan selama
seminggu dari Myanmar.
Dalam keterujaan membayangkan pekerjaan yang bakal diterima, Myint
terpaksa akur apabila mendapat tahu dirinya telah terjerat dalam kancah
pemerdagangan manusia.
Tujuh bulan membanting tulang di atas bot bagaikan neraka dunia buat
Myint kerana setiap jam dan waktu, pasti ada anak kapal akan dipukul dan
diseksa oleh kapten termasuk dirinya.
Namun, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan setia menebar
pukat ke laut bagi meneruskan kehidupan atau nyawa mereka melayang di
tangan manusia-manusia tidak berperikemanusiaan itu.
Dengan hanya satu das tembakan di kepala, rakan Myint mati disaksikan
anak-anak kapal lain sebagai pengajaran agar tidak sekali-kali cuba
melarikan diri.
Namun, insiden itu sedikit pun tidak menggentarkan perasaan Myint
untuk terus bertahan di atas bot itu malah dia nekad terjun ke dalam
laut yang bergelora sambil berpaut pada boya selama lima jam sebelum
tiba ke daratan.
Kisah Myint itu merupakan antara jilid yang terkandung dalam kisah
mangsa-mangsa pemerdagangan manusia Thailand yang dikerah bekerja dalam
industri perikanan negara itu.
Kini hidup Myint lebih aman. Kini dia berkhidmat dalam kumpulan
sukarelawan tempatan yang bertujuan membebaskan mangsa-mangsa
penghambaan.
Ketika informasi ini dicatat, Myint sebenarnya dalam cubaan
menyelamatkan empat anak muda Myanmar yang sedang bersembunyi di sebalik
semak berhampiran pinggir pantai bandar Rayong selepas berjaya
meloloskan diri dari sebuah bilik berkunci.
Ketakutan dan trauma dapat dilihat dari raut wajah seorang remaja
lelaki yang baharu sahaja diselamatkan Myint yang sekadar membatukan
diri tanpa sepatah kata.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menggesa
Thailand membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dengan lebih agresif
kerana penghambaan dalam industri perikanan negara itu semakin
meruncing.
Survival tengah laut
PELAUT migran dikerah bekerja selama 20 jam sehari tanpa cuti dan berehat secara curi-curi.
Sirirat Ayuwathana dari Kementerian Pembangunan Sosial dan
Keselamatan Manusia yang bertanggungjawab ke atas isu tersebut
menyatakan bahawa pihak berkuasa sedia maklum terhadap masalah itu.
Mereka sedang merangka penubuhan suruhanjaya bagi pendaftaran semua bot
nelayan dan anak kapal.
"Kita tidak tahu apa yang berlaku selepas bot-bot itu meninggalkan
pelabuhan. Anak-anak kapal itu mungkin didera ataupun dikurung.
Kapten
memiliki kuasa mutlak ke atas bot, dan mereka mungkin menyalahgunakan
kuasa itu," ujar Sirirat.
Berdasarkan laporan Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM),
survival di tengah laut memang sukar apatah lagi mangsa terpaksa bekerja
sehingga 20 jam sehari, tujuh hari seminggu dan hanya mampu mencuri
waktu untuk makan dan berehat sementara menunggu pukat diangkat.
Lebih menyayat hati apabila ada dalam kalangan mangsa yang berumahkan
bot-bot itu untuk tempoh menjangkau tujuh bulan hingga setahun tanpa
pulang ke darat.
Kapten-kapten bot dan kapal akan mendapatkan khidmat kapal induk bagi
mengisi minyak dan mengambil anak kapal baharu, menidakkan cubaan
mangsa untuk bebas.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Human Rights Watch, Phil Robertson
yang menyediakan laporan IOM itu berkata, polis marin di satu kawasan
pinggir pantai menemui 10 mayat setiap bulan yang terdampar di tepi
pantai. mayat-mayat itu dipercayai mangsa kekejaman majikan.
Dikerah bekerja
DIANGGARKAN seramai 10,000 orang terperangkap dalam kancah pemerdagangan manusia di kebanyakan negara di dunia
"Ribuan mangsa dikerah bekerja di laut sejak sedekad yang lalu dan
industri ini beroperasi tanpa undang-undang lebih-lebih lagi dengan
adanya orang tengah, membuatkan masalah ini semakin kritikal," jelas
Roberston.
Tambahnya, jika perlu kerajaan dan pengguna perlu memboikot industri perikanan negara itu sehingga ia benar-benar dipulihkan.
Kajian 2009 oleh United Nations Inter-Agency Project (UNIAP)
berhubung pemerdagangan manusia pula mendapati, lebih daripada separuh
pekerja migran Kemboja yang diperhambakan dalam industri perikanan
Thailand pernah menyaksikan kapten mereka membunuh beberapa anak kapal.
Namun, kehadiran mangsa-mangsa penghambaan itu sebenarnya memainkan
peranan penting dalam menaikkan ekonomi Thailand dalam sektor perikanan
dan negara itu amat bergantung kepada hasil perolehan buruh-buruh
paksaan tersebut.
Industri perikanan Thailand sememangnya lubuk emas buat ekonomi
negara itu.
Berdasarkan angka rasmi, 16.95 bilion baht (RM1.7 bilion)
hasil laut diperoleh Thailand pada tahun 2010, tambahan pula pengimport
mereka terdiri dari negara-negara maju seperti China, Amerika Syarikat,
Jepun serta negara Kesatuan Eropah.
Sehingga hari ini, terdapat 35,000 migran mendaftar secara rasmi sebagai pelaut dengan majoriti dari Myanmar dan Kemboja.
Ahli politik Thailand turut menjelaskan, kesukaran mendapatkan tenaga
kerja tempatan berkhidmat dalam industri perikanan mendorong majikan
mengambil mangsa pemerdagangan manusia sebagai pekerja.
Mana Sripitak dari Persatuan Perikanan Kebangsaan Thailand pula
menyatakan, tuduhan ke atas industri perikanan negara itu adalah tidak
berasas memandangkan kebanyakan mangsa berkhidmat secara sukarela.
Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengawasi Thailand selama dua
tahun berturut-turut berdasarkan laporan-laporan berhubung aktiviti
pemerdagangan manusia di negara itu yang semakin meruncing.
Dianggarkan seramai 10,000 orang terperangkap dalam kancah
pemerdagangan manusia di kebanyakan negara di dunia saban tahun dan ia
membabitkan pelbagai jenis penghambaan termasuklah eksploitasi seks.
Dalam lawatan baru-baru ini ke Thailand berhubung aktiviti
pemerdagangan manusia oleh pelapor khas PBB, Joy Ngozi Ezeilo menyatakan
negara itu tidak mengambil tindakan tegas dalam mengekang masalah itu
daripada terus menular.
Kelangsungan hidup
MANGSA pemerdagangan manusia ini akan dipukul, diseksa dan dibunuh jika cuba melarikan diri.
"Imuniti yang dimiliki penyeludup-penyeludup ini terutama pakatan
sulit mereka bersama agensi-agensi penguat kuasa tempatan melemahkan
usaha kerajaan serta keberkesanan polisi dan program bagi menggempur
masalah tersebut," ujarnya.
Berbalik kepada kisah mangsa, seorang lagi lelaki yang berjaya
melepaskan diri yang hanya mahu dikenali dengan nama Myo Oo, menyingkap
kembali kisah pahit itu.
Dia membayar orang tengah 1,000 baht (RM102) bagi membawa dirinya ke
Thailand, dengan harapan dia dan adik lelakinya berusia 16 tahun dapat
bekerja kilang di Bangkok dan bertemu dua kakak mereka yang menetap di
situ.
Selepas lima hari merentasi belantara, dua beradik itu dimuatkan ke
dalam sebuah trak untuk dibawa ke Rayong dan akhirnya mereka terpisah.
Ketakutan menghantui Myo Oo apabila memba yangkan nasib adik lelakinya
itu yang kemungkinan besar tidak dapat membebaskan diri daripada
cengkaman majikannya.
"Mereka (majikan) mengugut untuk membunuh kami jika cuba melarikan
diri dan mereka memang serius tentang perkara tersebut memandangkan
sebutir peluru hanya boleh didapati pada harga 25 baht (RM2.60) sahaja,"
ujarnya yang berusia 20 tahun.
Kata Myo Oo, dia dan adiknya sedar halangan yang bakal dihadapi saat
berhijrah ke Thailand namun realitinya lebih sukar daripada yang
dibayangkan.
"Saya tidak pernah menyangka saya perlu hidup dalam kegusaran dan sering diselubungi ketakutan," ujarnya.
Bagaimanapun, Myo Oo enggan identiti sebenarnya didedahkan bagi mengelakkan diusir dari Thailand oleh pihak berkuasa tempatan.
Apa yang dia dan rakan-rakannya inginkan adalah mendapat pekerjaan
yang mampu menjamin kelangsungan hidup di Bangkok dan selagi kaki mampu
melangkah, selagi itu tiada erti putus asa dalam diri mereka. - AFP
kesiannya kan...
ReplyDeleteBersyukurlah dgn pekerjaan aku skrg..huhuhu
ReplyDeletewak pon syukur dengan kerja wak.... eee wak dah datang nih nak komenn komen.........
ReplyDelete