NATURAL REMEDIES

ISLAMIC CALENDAR

Monday, December 19, 2011

Pemimpin Korea Utara meninggal dunia

SEOUL, Korea Selatan - Kematian pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il mengejutkan dunia tetapi penganalisis-penganalisis politik menepis kebimbangan akan berlaku ketidaktentuan di negara kuasa nuklear berkenaan.

  Kim Jong il

Mereka berkata, proses pertukaran kepimpinan Korea Utara dirancang dengan teratur dan lancar.
Pengumuman rasmi media Korea Utara semalam mendedahkan bahawa Jong-il meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lepas ketika berusia 69 tahun. 

Ia turut menyatakan anak lelaki bongsu Jong-il yang juga pewarisnya, Kim Jong-un yang berusia lewat 20-an kini mengambil alih tonggak pemerintahan negara, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Namun, perkembangan tersebut mendorong Korea Selatan meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kebimbangan ancaman perang. 

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak pula menggesa orang ramai supaya bertenang.

"Saya berpendapat tiada pergolakan serta-merta dalam politik dalaman atau hal ehwal luar Korea Utara," kata penganalisis politik Institut Sejong, Paik Hak-soon.

Media Korea Utara menggesa rakyat supaya taat setia kepada kepimpinan Jong-un dengan agensi berita rasmi negara berkenaan menggelarnya sebagai pewaris besar.

"Semua ahli parti, petugas awam dan orang kebanyakan perlu setia pada bimbingan Kim Jong-un dan melindungi seterusnya mengukuhkan lagi penyatuan antara parti, tentera dan rakyat," kata agensi berita tersebut.

Para pemerhati politik menepis kebimbangan berlakunya pergolakan kuasa atau rampasan kuasa dalam masa terdekat ekoran kematian Jong-il.

"Tiada pergolakan (sehingga kini) bermakna kuasa Jong-un kini kukuh dan semua pegawai kanan di bawah Jong-il memutuskan sejak dua hari selepas kematiannya untuk menyokong Jong-un sebagai pemimpin baharu," kata Paik.

"Pegawai-pegawai kanan Korea Utara telah menyusun semuanya dan rejim komunis nampak stabil di bawah kepimpinan baharu. Saya tidak nampak pergolakan besar atau pergelutan kuasa berlaku dalam masa terdekat." 

"Era Kim Jong-un sudah bermula." tambahnya.

Tidak banyak yang diketahui tentang Jong-un. 

Mendapat pendidikan di Switzerland, beliau dilihat akan meneruskan kesinambungan generasi ketiga dinasti Kim.

Berusia lewat 20-an, Jong-un kurang dikenali umum sehingga bapanya mengalami strok pada 2008 sekali gus memaksa pelan pertukaran kepimpinan dipercepatkan.

Jong-un dipercayai boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Jerman dan Perancis. 

Namun, pakar-pakar politik memberi amaran beliau tidak semestinya berjiwa reformasi walaupun tinggal di Barat selama beberapa tahun.

"Saya tidak mahu membuat sebarang rumusan walaupun beliau pernah tinggal setahun dua di Eropah ketika masih kanak-kanakI," kata pembantu profesor di Sekolah Graduan Kajian Antarabangsa Universiti Yonsei, John Delury.

"Namun, anda tahu beliau masih muda dan generasi berubah walau apa dan di mana anda berada di dunia termasuk Korea Utara, jadi beliau akan mempunyai orientasi yang berbeza," tambahnya.


Menurut memoir seorang lelaki yang menyatakan dia pernahbekerja dengan keluarga Kim selama 11 tahun sebagai cef sushi, Jong-un seorang yang keras hati dan bercita-cita tinggi seperti bapanya.

Cef berkenaan yang menggunakan nama pena Kenji Fujimoto, menyifatkan Jong-un sebagai seorang yang suka bersaing malah, tidak berhati perut semasa zaman kanak-kanak.

Memakai seragam tentera, Jong-un yang masih muda ketika itu "merenung saya dengan cara yang menakutkan apabila kami berjabat tangan semasa pertama kali bertemu," kata Fujimoto dalam buku memoir, Kim Jong-il's Chef. 

"Saya tidak boleh melupakan renungan tersebut yang seperti menyatakan "inilah orang Jepun yang keji."
Beliau paling minat bermain bola keranjang dan meminati pasukan Chicago Bulls, kata cef berkenaan.

"Beliau juga gemarkan filem seperti bapanya. Dari sudut rupa paras, cita rasa dan personaliti, anak bongsu Jong-il saling tak tumpah seperti bapanya dan ketika itu jelas bahawa dia anak kesayangan bapanya," kata Fujimoto.

Pada September 2010, Jong-un diberikan jawatan kanan dalam parti dan dilantik jeneral empat bintang walaupun beliau tiada pengalaman dalam peperangan. 

Sejak dari itu, beliau sering dilihat mengiringi bapanya.

Satu-satunya saudara perempuan Jong-il, Kim Kyong Hui dan suaminya, Jang Song-thaek yang dianggap pemimpin nombor dua tidak rasmi Korea Utara dijangka menjadi mentor Jong-un dan menyokong kepimpinan beliau.

Seorang penganalisis Institut Analisis Pertahanan Korea, Baek Seung-joo berkata, Korea Utara bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi kematian Jong-il sejak beliau mengalami strok pada 2008.

"Buat sementara waktu, tentera dan keluarga Kim akan cuba mendokong Jong-un sebagai ketua mereka dan bersatu di bawahnya," kata Seung-joo.

Namun, Jong-un yang kurang pengalaman dan berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan makanan, dilihat tidak akan melaksanakan sebarang agenda besar.

"Beliau tidak akan melakukan perubahan dasar drastik ketika cuba mengukuhkan kuasa. Beliau akan cuba berkongsi kuasa atau mewujudkan perikatan strategik dengan pemimpin-pemimpin kanan tentera," kata Baek.

"Pergelutan kuasa mungkin berlaku pada masa depan kerana Jong-un tidak mendapat sokongan penuh rakyat," katanya sambil menambah, tanpa mandat popular kedudukan Jong-un boleh tergugat. - Agensi




 

                       

Thursday, September 29, 2011

KISAH SEDIH BURUH PAKSA

Sedih pulak bila terbaca cerita ni dekat Kosmo. Jom baca sesama berita ni, petikan daripada Kosmo online.




KALI pertama Hla Myint melihat laut ketika dia dibawa penyeludup buruh paksaan ke pesisir laut Thailand selepas meredah hutan selama seminggu dari Myanmar.

Dalam keterujaan membayangkan pekerjaan yang bakal diterima, Myint terpaksa akur apabila mendapat tahu dirinya telah terjerat dalam kancah pemerdagangan manusia.

Tujuh bulan membanting tulang di atas bot bagaikan neraka dunia buat Myint kerana setiap jam dan waktu, pasti ada anak kapal akan dipukul dan diseksa oleh kapten termasuk dirinya.

Namun, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan setia menebar pukat ke laut bagi meneruskan kehidupan atau nyawa mereka melayang di tangan manusia-manusia tidak berperikemanusiaan itu.

Dengan hanya satu das tembakan di kepala, rakan Myint mati disaksikan anak-anak kapal lain sebagai pengajaran agar tidak sekali-kali cuba melarikan diri.

Namun, insiden itu sedikit pun tidak menggentarkan perasaan Myint untuk terus bertahan di atas bot itu malah dia nekad terjun ke dalam laut yang bergelora sambil berpaut pada boya selama lima jam sebelum tiba ke daratan.

Kisah Myint itu merupakan antara jilid yang terkandung dalam kisah mangsa-mangsa pemerdagangan manusia Thailand yang dikerah bekerja dalam industri perikanan negara itu.

Kini hidup Myint lebih aman. Kini dia berkhidmat dalam kumpulan sukarelawan tempatan yang bertujuan membebaskan mangsa-mangsa penghambaan.

Ketika informasi ini dicatat, Myint sebenarnya dalam cubaan menyelamatkan empat anak muda Myanmar yang sedang bersembunyi di sebalik semak berhampiran pinggir pantai bandar Rayong selepas berjaya meloloskan diri dari sebuah bilik berkunci.

Ketakutan dan trauma dapat dilihat dari raut wajah seorang remaja lelaki yang baharu sahaja diselamatkan Myint yang sekadar membatukan diri tanpa sepatah kata.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menggesa Thailand membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dengan lebih agresif kerana penghambaan dalam industri perikanan negara itu semakin meruncing.

Survival tengah laut

 PELAUT migran dikerah bekerja selama 20 jam sehari tanpa cuti dan berehat secara curi-curi.

Sirirat Ayuwathana dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia yang bertanggungjawab ke atas isu tersebut menyatakan bahawa pihak berkuasa sedia maklum terhadap masalah itu. 

Mereka sedang merangka penubuhan suruhanjaya bagi pendaftaran semua bot nelayan dan anak kapal.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku selepas bot-bot itu meninggalkan pelabuhan. Anak-anak kapal itu mungkin didera ataupun dikurung. 

Kapten memiliki kuasa mutlak ke atas bot, dan mereka mungkin menyalahgunakan kuasa itu," ujar Sirirat.

Berdasarkan laporan Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), survival di tengah laut memang sukar apatah lagi mangsa terpaksa bekerja sehingga 20 jam sehari, tujuh hari seminggu dan hanya mampu mencuri waktu untuk makan dan berehat sementara menunggu pukat diangkat.

Lebih menyayat hati apabila ada dalam kalangan mangsa yang berumahkan bot-bot itu untuk tempoh menjangkau tujuh bulan hingga setahun tanpa pulang ke darat.

Kapten-kapten bot dan kapal akan mendapatkan khidmat kapal induk bagi mengisi minyak dan mengambil anak kapal baharu, menidakkan cubaan mangsa untuk bebas.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Human Rights Watch, Phil Robertson yang menyediakan laporan IOM itu berkata, polis marin di satu kawasan pinggir pantai menemui 10 mayat setiap bulan yang terdampar di tepi pantai. mayat-mayat itu dipercayai mangsa kekejaman majikan.

Dikerah bekerja

 DIANGGARKAN seramai 10,000 orang terperangkap dalam kancah pemerdagangan manusia di kebanyakan negara di dunia

"Ribuan mangsa dikerah bekerja di laut sejak sedekad yang lalu dan industri ini beroperasi tanpa undang-undang lebih-lebih lagi dengan adanya orang tengah, membuatkan masalah ini semakin kritikal," jelas Roberston.

Tambahnya, jika perlu kerajaan dan pengguna perlu memboikot industri perikanan negara itu sehingga ia benar-benar dipulihkan.

Kajian 2009 oleh United Nations Inter-Agency Project (UNIAP) berhubung pemerdagangan manusia pula mendapati, lebih daripada separuh pekerja migran Kemboja yang diperhambakan dalam industri perikanan Thailand pernah menyaksikan kapten mereka membunuh beberapa anak kapal.

Namun, kehadiran mangsa-mangsa penghambaan itu sebenarnya memainkan peranan penting dalam menaikkan ekonomi Thailand dalam sektor perikanan dan negara itu amat bergantung kepada hasil perolehan buruh-buruh paksaan tersebut.

Industri perikanan Thailand sememangnya lubuk emas buat ekonomi negara itu. 

Berdasarkan angka rasmi, 16.95 bilion baht (RM1.7 bilion) hasil laut diperoleh Thailand pada tahun 2010, tambahan pula pengimport mereka terdiri dari negara-negara maju seperti China, Amerika Syarikat, Jepun serta negara Kesatuan Eropah.

Sehingga hari ini, terdapat 35,000 migran mendaftar secara rasmi sebagai pelaut dengan majoriti dari Myanmar dan Kemboja. 

Ahli politik Thailand turut menjelaskan, kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan berkhidmat dalam industri perikanan mendorong majikan mengambil mangsa pemerdagangan manusia sebagai pekerja.

Mana Sripitak dari Persatuan Perikanan Kebangsaan Thailand pula menyatakan, tuduhan ke atas industri perikanan negara itu adalah tidak berasas memandangkan kebanyakan mangsa berkhidmat secara sukarela.

Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengawasi Thailand selama dua tahun berturut-turut berdasarkan laporan-laporan berhubung aktiviti pemerdagangan manusia di negara itu yang semakin meruncing.

Dianggarkan seramai 10,000 orang terperangkap dalam kancah pemerdagangan manusia di kebanyakan negara di dunia saban tahun dan ia membabitkan pelbagai jenis penghambaan termasuklah eksploitasi seks.

Dalam lawatan baru-baru ini ke Thailand berhubung aktiviti pemerdagangan manusia oleh pelapor khas PBB, Joy Ngozi Ezeilo menyatakan negara itu tidak mengambil tindakan tegas dalam mengekang masalah itu daripada terus menular.

Kelangsungan hidup


 MANGSA pemerdagangan manusia ini akan dipukul, diseksa dan dibunuh jika cuba melarikan diri.

"Imuniti yang dimiliki penyeludup-penyeludup ini terutama pakatan sulit mereka bersama agensi-agensi penguat kuasa tempatan melemahkan usaha kerajaan serta keberkesanan polisi dan program bagi menggempur masalah tersebut," ujarnya. 

Berbalik kepada kisah mangsa, seorang lagi lelaki yang berjaya melepaskan diri yang hanya mahu dikenali dengan nama Myo Oo, menyingkap kembali kisah pahit itu.

Dia membayar orang tengah 1,000 baht (RM102) bagi membawa dirinya ke Thailand, dengan harapan dia dan adik lelakinya berusia 16 tahun dapat bekerja kilang di Bangkok dan bertemu dua kakak mereka yang menetap di situ.

Selepas lima hari merentasi belantara, dua beradik itu dimuatkan ke dalam sebuah trak untuk dibawa ke Rayong dan akhirnya mereka terpisah. 

Ketakutan menghantui Myo Oo apabila memba yangkan nasib adik lelakinya itu yang kemungkinan besar tidak dapat membebaskan diri daripada cengkaman majikannya.

"Mereka (majikan) mengugut untuk membunuh kami jika cuba melarikan diri dan mereka memang serius tentang perkara tersebut memandangkan sebutir peluru hanya boleh didapati pada harga 25 baht (RM2.60) sahaja," ujarnya yang berusia 20 tahun.

Kata Myo Oo, dia dan adiknya sedar halangan yang bakal dihadapi saat berhijrah ke Thailand namun realitinya lebih sukar daripada yang dibayangkan.

"Saya tidak pernah menyangka saya perlu hidup dalam kegusaran dan sering diselubungi ketakutan," ujarnya.

Bagaimanapun, Myo Oo enggan identiti sebenarnya didedahkan bagi mengelakkan diusir dari Thailand oleh pihak berkuasa tempatan.

Apa yang dia dan rakan-rakannya inginkan adalah mendapat pekerjaan yang mampu menjamin kelangsungan hidup di Bangkok dan selagi kaki mampu melangkah, selagi itu tiada erti putus asa dalam diri mereka. - AFP



Sunday, September 11, 2011

Buaya gergasi baham antelop

PAOLO TORCHIO berjaya merakamkan gambar seekor buaya sepanjang 6.4 meter membaham seekor antelop di sebatang sungai di Taman Negara Maasai Mara di Kenya.
 TAMAN NEGARA MAASAI MARA, Kenya - Seekor buaya gergasi sepanjang 6.4 meter membaham seekor antelop seberat 136 kilogram di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Aksi buaya itu membaham haiwan tersebut sempat dirakamkan oleh jurugambar terkenal, Paolo Torchio dari Itali di sebatang sungai di sini.

Menurut Torchio, kejadian tersebut menyebabkan seseorang itu berfikir bahawa betapa kecilnya diri kita dalam dunia haiwan.

Sungai itu dipenuhi dengan bangkai haiwan yang mati semasa ia cuba untuk berhijrah dari Tanzania ke Kenya.
Dua minggu lalu, sekumpulan penduduk di bandar Bunawan, Filipina berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 6.1 meter hidup-hidup.

Buaya itu kini ditempatkan di sebuah kurungan dan ia dipercayai buaya paling besar pernah ditangkap hidup-hidup di dunia. - Agensi

BINTANG DARI SOMALIA


 Fatima

SEJAK kecil lagi Fatima Siad, 25, melalui kehidupan dalam suasana yang cukup getir di bandar kelahirannya di Mogadishu, Somalia. 

Dia bukan sahaja dibesarkan dalam persekitaran kehidupan yang bergolak, kebahagiaan zaman kanak-kanaknya juga bagaikan direntap apabila ibu dan bapanya bercerai ketika usianya begitu muda.
"Selepas berpisah, ibu sendirian membesarkan kami yang masih kecil. 

"Pada masa itu kekacauan ada di mana-mana dan kami sentiasa dibayangi ketakutan," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik yang kesemuanya perempuan itu. 

Hidup dalam keadaan serba kekurangan di kawasan yang tidak pernah aman, Fatima mengakui keluarganya tidak pernah mengecapi suasana tenteram.

"Keadaan lebih buruk selepas tahun 1991. Waktu itu semua orang susah. 

"Peperangan menyukarkan golongan dewasa keluar bekerja dan harga barang makanan menjadi sangat mahal. 

"Lantaran itu, kami sering keputusan bekalan makanan, apatah lagi yang berzat. 

"Kadang-kadang dari pagi sampai ke malam, kami hanya mengalas perut dengan sekeping canjeero (makanan seperti pankek tetapi sedikit tebal) dan minum air putih," katanya yang menganggap dirinya bernasib baik jika dibandingkan dengan puluhan rakan sepermainannya yang mati kebuluran.

Lapan tahun hidup dalam keadaan tidak menentu, ibu Fatima nekad membawa dia dan dua adiknya melarikan diri dari Somalia. 

"Bagaimanapun, sedang ibu sibuk berkemas, tentera kerajaan telah menggempur kediaman kami dan menembak mati kedua-dua adik saya yang ketika itu hanya berusia lapan dan 10 tahun.

Ditembak

"Mereka rebah di hadapan mata kami. Saya hanya mampu menangis ketakutan di belakang badan ibu sambil merayu kami tidak diapa-apakan," imbas Fatima yang berusia 13 tahun ketika kejadian itu berlaku. 

Enggan bertahan lebih lama di Somalia, pada tahun yang sama, Fatima bersama ibunya terbang ke Boston, Amerika Syarikat (AS) atas tiket pelarian perang. 

"AS adalah dunia yang cukup asing dan mencabar untuk saya. 

"Di sana, saya terus dimasukkan ke gred tujuh ESL (Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) tetapi sepatah perkataan Inggeris pun saya tidak tahu.
"Kerana itu, saya tidak ada kawan dan tiada keyakinan diri. Namun, saya tidak mahu membiarkan diri saya ketinggalan.
"Saya mula belajar bahasa Inggeris dan tekun ketika di kelas. 

"Walaupun terpaksa bersaing dengan pelajar sebaya dari AS, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaaan dan diterima masuk ke Universiti New York dalam bidang Praperubatan dan Sains Politik," jelas pemilik figura hitam manis yang terkenal selepas menyertai pertandingan supermodel, America's Next Top Model musim ke-10 pada tahun 2008.

Pemberontak

Dalam pertandingan realiti itu, Fatima mendapat tempat ketiga daripada 14 peserta yang mengambil bahagian. 

Kini, dia bergiat aktif dalam dunia peragaan pentas di AS. 

"Saya mula menceburi bidang peragaan ketika di kolej. Saya nekad untuk keluar dari kolej dan serius dalam dunia peragaan.

"Ketika saya beritahu ibu saya, dia sangat terkejut dan marah kerana dia memang mahu saya menjadi doktor, rupa-rupanya dia marah kerana saya tidak memberitahunya terlebih awal," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada ibunya. 

Selain Fatima, terdapat ramai lagi model kelahiran Somalia yang berjaya menempa nama di pentas peragaan antarabangsa. 

Antaranya, Iman Mohamed Abdulmajid atau Iman, Waris Dirie, Urbah Hassan dan Yasmin Warsame. 

Iman yang diangkat sebagai ikon fesyen kelahiran Somalia bukan sahaja berjaya sebagai peragawati terkenal malah dia juga mempunyai empayar perniagaan kosmetik di bawah jenama Iman. 

Aktivis kebajikan yang petah bertutur dalam bahasa Inggeris, Somalia, Arab, Itali dan Perancis ini turut aktif dalam dunia lakonan. Baru-baru ini, Iman turut merayu bantuan dunia bagi membantu masyarakat Somalia yang dilanda kebuluran dan peperangan. 

Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Al-Jazeera, Iman merayu bantuan kemanusiaan segera dihulur kepada jutaan rakyat Somalia yang sedang menunggu ajal akibat kebuluran disebabkan kemarau panjang. 

Dia yang dilahirkan di Mogadishu juga pernah membuat liputan mengenai krisis makanan pada tahun 1992 bersama British Broadcasting Corporation (BBC). 

"Walaupun pernah melihat sendiri kemelaratan rakyat Somalia akibat kebuluran 19 tahun yang lalu, saya percaya krisis kali ini jauh lebih buruk. 

"Apa yang lebih menyayat hati, banyak bantuan yang dihulur dari seluruh dunia tetapi tidak sampai ke tangan rakyat disebabkan sekatan oleh puak pemberontak. 

"Dalam situasi genting seperti ini, tindakan tersebut hanya memburukkan keadaan malah secara peribadi, saya melihatnya sebagai pelenyap kepada generasi masa depan Somalia," katanya.

Terpisah

Melihat kepada kemelut kebuluran dan perang saudara yang semakin mendesak, Iman merayu puak pemberontak supaya mengetepikan krisis politik demi kelangsungan hidup 10.7 juta rakyat negara itu. 



 Urbah

Selain Iman, Urbah, seorang model yang membesar di Baidoa yang terletak di selatan Somalia, ialah antara mangsa pelarian perang yang menempa nama di arena peragaan antarabangsa. 

Kegawatan politik yang melanda negara Tanduk Afrika itu menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa berpisah selama 10 tahun.

"Kami tidak mampu bertahan di Somalia kerana setiap hari kami melihat orang awam dibunuh.
"Ibu dan adik saya lari menyelamatkan diri ke Kanada manakala saya, bapa dan adik lelaki menjadi pelarian di Kenya.

"Selepas menjalani kehidupan sukar, keluarga kami hanya dapat bersatu pada 2001 di Vancouver, Kanada selepas sedekad terpisah," kata Urbah yang bakat peragaannya dicungkil oleh seorang jurugambar profesional yang menyapanya di sebuah taman ketika berusia 17 tahun. 

Menurut Urbah, situasi menjadi lebih teruk apabila puak pemberontak mula menindas golongan Muslim di sana.
"Kaum lelaki yang beragama Islam adalah sasaran mereka. 

"Keadaan lebih teruk jika lelaki tersebut adalah golongan terpelajar yang turut sama membantah keganasan. 

"Akibatnya, bukan sahaja lelaki itu yang dibunuh, semua ahli keluarganya mungkin menjadi mangsa kekejamaan puak pemberontak," ujar Urbah.

TV silap umum Steve Jobs mati

 Credit to Kosmo online.

LOS ANGELES - Saluran berita CBS News tersilap melaporkan bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs telah meninggal dunia kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.




STEVE JOBS 
 
Pengumuman berhubung kematian Jobs itu dibuat di laman akaun Twitter saluran tersebut.
Akaun tersebut mempromosikan program What's Trending yang dihoskan Shira Lazar terbitan CBS.

Pengumuman itu mengatakan: "Laporan menyatakan Steve Jobs sudah meninggal dunia. Tunggu untuk mendapatkan perkembangan terkini."

Laporan itu kemudian ditarik balik dengan serta- merta tetapi pengumuman tersebut masih boleh dilihat di Twitter kerana ia dihantar berulang kali oleh para pengguna laman tersebut.

Bagaimanapun, Shira yang juga penerbit eksekutif program What's Trending meminta maaf berhubung pengumuman berkenaan.

Jobs, 56, mengumumkan peletakan jawatannya pada Ogos lalu tetapi dia kekal sebagai pengerusi syarikat Apple.

Sebelum ini, Jobs pernah menjalani pembedahan hati dua tahun lalu selain membuang tumor pada 2003.
Spekulasi mengenai kesihatan Jobs sering mendapat liputan media Barat selepas tubuhnya kelihatan kurus sejak akhir-akhir ini. 

Jobs terkenal kerana syarikat Apple di bawah kendaliannya mengeluarkan gajet iPhone, komputer tablet iPad dan iPod. - Agensi

DISIHIR GUNA GAMBAR DALAM FB

Petikan dari Kosmo online.

NILAI - Disihir menggunakan gambar yang terdapat dalam laman sosial Facebook (FB).


IRA (tengah) ditemu bual oleh wartawan Kosmo!, Suhana Md. Yusop sambil diperhatikan oleh Shamsuri Shafie di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.



Itu yang didakwa berlaku kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi, dikenali sebagai Ira apabila gambar dari laman sosialnya dijadikan sebagai senjata pemujaan sihir.

Ira, 22, mendakwa, dia telah disihir oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Maria kerana cemburu akan hubungan bersama teman lelakinya serta mahu memutuskan hubungan mereka.

"Maria adalah bekas teman wanita kekasih saya tetapi hubungan mereka telah lama putus. Sebab itu dia menyihir saya kerana ingin melihat hubungan kami hancur.

"Kami tidak mengenali antara satu sama lain. 

"Dia hadir menghulurkan tangan sebagai rakan dan saya sambut kerana ingat dia jujur namun sebaliknya," dakwanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Ira lagi, dia mengetahui disihir oleh Maria melalui sekeping gambar setelah menerima rawatan daripada penaung Pusat Rawatan Islam At Tobibi di Bandar Baru Nilai, Shamsuri Safie pada Jun lalu.

Menurutnya, semasa rawatan, dia mendapati gambar mata Maria seolah-olah bersinar setiap kali dia merenungnya.

Ketika itu, dia merasakan Maria terlalu baik dan dia menurut segala kemahuannya termasuk berhenti kerja.
"Bagaimanapun setelah berubat, baru saya tahu bahawa saya bukan sahaja terkena sihir tetapi disantau oleh Maria,'' ceritanya.

Menurutnya, Shamsuri memberitahunya bahawa Maria telah meletakkan abu mayat di dalam makanannya.

PS : Dalam zaman yang serba canggih ni masih ada yang berfikiran kolot.

Sunday, August 14, 2011

Fida jawab isu peluk dan cinta Mamat



KEBIASAANNYA artis yang menutup aurat jarang dilihat tampil di dalam kaca televisyen melakukan adegan berpelukan mahupun berpegangan tangan. 

Namun, bagi pendatang baru industri lakonan, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim dilihat telah memecah norma sopan yang telah dibentuk sejak awal dia memasuki industri ini beberapa tahun lalu.

Fida telah melakukan babak berpelukan bersama aktor Iqram Dinzly di dalam drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan di saluran TV3. 

Melihatkan babak tersebut, ramai yang berpendapat mungkin tidak manis bagi seorang wanita muslimah bertudung litup bersetuju untuk melakukan adegan itu. Namun, bagi gadis berumur 27 tahun ini, dia ada alasan tersendiri terhadap persoalan mengapa babak tersebut terjadi. 


FIDA dan Mamat sudah berkawan rapat sejak enam bulan lalu. 
 
"Pertama sekali, Fida ingin meminta maaf jika ada peminat yang terasa dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, perkara itu terjadi secara spontan. Ketika itu babak kami dihalau dari wad dan ia babak yang sangat sedih. 

"Mungkin kerana terlalu menjiwai, Iqram secara tidak sengaja tertarik Fida dan jika dilihat dari mata kasar memang nampak seperti kami berpelukan, namun pada hakikatnya tidak. 

Tapi bila perkara-perkara sebegini berlaku, Fida sebagai pelakon perlu bersedia menghadapi semua ini," jelas anak kelahiran Kuala Lumpuri itu yang mengatakan semua ini dipelajari dari kesilapan lalu. 


Tambah Fida, pengalaman sebelum ini telah memberi kesedaran buat dia untuk menghormati dan mendengar arahan 'cut' dari pengarah. 

Katanya, sebagai orang baharu yang hanya berbekalkan pengalaman dua tahun dalam industri lakonan, siapalah dirinya untuk mendahului pengarah. 

Cerita gadis itu lagi, pernah beberapa kali sebelum ini memberhentikan babak yang dilakonkan kerana dirasakan tidak sesuai dengan dirinya. Namun, insiden itu telah menyebabkan dirinya ditegur beberapa kali dan pernah juga dimarahi. 

Menjelaskan apa yang berlaku, cerita Fida sebenarnya dia menggunakan tekniknya tersendiri untuk melakonkan babak tersebut. Apa yang dilihat mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku. Jelas Fida, Iqram ketika itu tidak memeluknya erat. 

"Apa yang boleh Fida lakukan ialah Fida gunakan teknik sendiri. Jika perasan, Fida meletakkan tangan kiri di bahagian hadapan badan dan Iqram hanya meletakkan tangannya ke bahu Fida. Fida terkejut sebenarnya dengan tindakan Iqram namun Fida tidak boleh berbuat apa-apa. 

"Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja dan sebagai pelakon baharu, Fida perlu ikut apa yang dimahukan pengarah, namun perkara tersebut berlaku dengan cepat kerana apabila kita melakonkan sesuatu babak terutamanya yang bermain dengan emosi, kadangkala ia terlepas," jelas Fida mengenai babak yang menjadi kontroversi itu.

Apa yang pasti, jika pernah mengenali dan berjumpa dengan juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene ini, dia agak terbuka jika dibanding dengan aktres muda muslimah yang lain. Fida tidak kisah untuk bersalaman dan bergambar rapat bersama lelaki. 

Menjawab persoalan tersebut, Fida yang ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya terbitan TV3 baru-baru ini menjelaskan, pada pendapat dirinya, apabila seseorang menghulurkan tangan untuk bersalaman, jika kita menolak ia ibarat mengaibkan lelaki itu di hadapan orang ramai yang terlihat. 

"Memang perkara seperti itu tidak patut berlaku, namun bagi pendapat Fida, banyak lagi perkara lain yang kita perlu ikut dan rasanya ini bukanlah perkara besar.
"Ini kerana, banyak lagi perkara berat yang kita perlu dititikberatkan. Cuma, jika perkara sebegini berlaku, janganlah kita terlalu ingin menjaga maruah dan tatasusila sehingga mengaibkan orang lain," ujar Fida jujur mengakui perkara yang dilakukannya. 

Serius dengan Mamat
Cerita cinta Fida dan Mamat dari Kumpulan Sepah bukanlah perkara baharu yang perlu disorokkan lagi. Walaupun begitu, kisah percintaan mereka masih kabur dan tidak begitu jelas memandangkan kedua-duanya tidak memberikan jawapan yang pasti sebelum ini dan hanya gambar dan khabar angin yang tersiar dalam laman web. 

Namun, baru-baru ini, Mamat sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dia mahu merisik Fida untuk dijadikan isteri. Namun, bagi Fida, seperti perjalanan kariernya yang masih baharu, begitu juga perhubungannya bersama Mamat. 

Ujarnya, tempoh enam bulan merupakan tempoh yang masih segar dalam sesebuah perhubungan dan mereka berdua telah mengambil kata sepakat untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. 

"Saya akui dia lelaki yang paling rapat dengan saya setakat ini. Tapi kami ingin kenal dengan lebih dekat lagi. Fida tertarik dengan kejujuran yang ditunjukkan oleh Mamat. 

"Oleh itu, Fida beri peluang kepada dirinya dan diri Fida sendiri ruang untuk mengenali diri masing-masing. Sebelum ini juga, Fida tidak pernah dikaitkan dengan sesiapa," tutur Fida sambil tersenyum manis saat berbicara mengenai kisah cintanya. 

Katanya dia tertarik dengan Mamat kerana walaupun perangainya yang mungkin gila-gila, namun dia punyai satu bahagian lain yang menampilkan ciri-ciri kemelayuan.
Diambil sebagai contoh, semasa membuat promosi filem terbaharu mereka, Fida tertarik dengan tandatangan yang diturunkan oleh Mamat yang dtulis dalam tulisan jawi. Pertama kali terlihat seorang artis berbuat begitu, hatinya terus terpaut meminati jejaka tinggi lampai itu.

JUAL KUIH 10 BIJI RM1 DAN MURTABAK RM1 SEBIJI

Wah bestnya kalau dapat kat bazar Ramadan kat KL ni harga macam ni. Mesti ramai customer yang datang.

Tapi ini nun jauh Kat Kedah sana.... petikan dari Kosmo online.



 ALOR SETAR – Kebiasaan- nya kuih-muih dijual pada harga RM1 untuk tiga biji manakala martabak pula dijual RM2 untuk satu keping di mana-mana bazar Ramadan di negeri ini.

Berbeza dengan bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darulaman di sini, orang ramai sekitar bandar raya ini berpeluang menikmati pelbagai jenis kuihmuih seperti karipap, masalodeh, keria, buah melaka, cucur jagung dan cucur badak yang dijual pada harga RM1 untuk 10 biji.

Nurhayati Ahmad, 49, yang berniaga di bazar Ramadan itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia menjual kuih-muih bersaiz mini pada harga RM1 untuk 10 biji sepertimana arwah ayahnya lakukan dahulu.

“Arwah ayah selalu berpesan, kalau nak berniaga perlu bagi orang puas hati, buat kuih mesti kena sedap dan jangan terlalu memikirkan keuntungan sahaja,” katanya kepada Bernama.

Nurhayati berkata, walaupun sekarang harga bahan mentah sudah naik, tetapi dia tetap mengekalkan harga RM1 itu walaupun keuntungan yang dia dapat tidak semewah dahulu.

“Saya rasa puas jika semua kuih yang saya jual itu habis dan mereka (pembeli) yang beli kuih saya akan datang lagi pada hari lain dan itu menunjukkan mereka puas hati dengan kuih yang saya jual,” kata Nurhayati yang dibantu oleh anak serta menantu.

Tuesday, June 28, 2011

Eksekutif bank curi RM59.4 juta

GARY FOSTER didakwa membeli sebuah rumah mewah di Englewood Cliffs, New Jersey.


QUEENS - Seorang bekas eksekutif kumpulan perbankan Citigroup, Gary Foster didapati menggelapkan wang sebanyak AS$19.5 juta (RM59.4 juta) dalam tempoh 18 bulan dan menggunakan wang itu untuk membeli sebuah banglo berharga AS$3 juta (RM9.1 juta), membayar AS$1.93 juta (RM5.8 juta) untuk sebuah apartmen dan beberapa kereta mewah.

Sebuah akhbar melaporkan Foster, 35, turut didakwa menggaji seorang pemandu untuk memandu kereta Maserati GranTurismo dan sebuah BMW 550i miliknya selain telah menempah sebuah kereta Ferrari apabila dia ditahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Ahad lalu.

Sumber-sumber berkata, Foster ditahan semasa dia turun dari sebuah pesawat dari Bangkok di Lapangan Terbang Kennedy, New York

"Defendan menggunakan pengetahuannya tentang operasi Citigroup untuk menggelapkan wang dari dalam bank," kata seorang pendakwa raya, Loretta Lynch semasa mengumumkan dakwaan menipu terhadap Foster yang berkhidmat dengan Citigroup selama 12 tahun sebelum dia meletak jawatan pada Januari lalu.

Foster memperoleh pendapatan AS$100,000 (RM304,700) setahun sebagai pembantu naib presiden di sebuah pejabat perbendaharaan dan kewangan Citigroup di sini yang menguruskan pelaburan bank tersebut.

Pihak berkuasa bagaimanapun mendakwa mulai Mei 2009 hingga Disember tahun lalu, Foster memindahkan AS$19.2 juta daripada beberapa akaun dalaman Citigroup ke dalam akaun peribadinya di bank Chase.

Dia didakwa cuba menutup penipuan itu dengan mewujudkan kontrak pelaburan palsu supaya pemindahan wang itu dilihat tidak melanggar peraturan syarikat. - Agensi

Empat jutawan Malaysia pemurah




KUALA LUMPUR - Empat rakyat Malaysia iaitu Datuk Vijay Eswaran dari Kumpulan Ql, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya, pengasas IJM Corporation, Koon Yew Yin dan arkitek terkemuka Hijjas Kasturi adalah antara 48 orang yang dinamakan sebagai Wira Dermawan Forbes Asia.

Senarai itu disusun oleh Forbes setiap tahun dengan tujuan memperkenalkan tokoh-tokoh terkemuka di rantau Asia. 

Mereka disenaraikan bersama-sama jutawan Asia terkemuka yang lain seperti aktor Jackie Chan dari Hong Kong dan Vivek Oberoi dari India serta arkitek Tadao Ando dari Jepun. 

Senarai tahunan itu memperkenalkan dermawan yang belum pernah ditonjolkan oleh Forbes Asia sebelum ini.
Vijay, Pengerusi Eksekutif dan pengasas bersama Kumpulan QI, terpilih kerana sumbangan meluas bernilai jutaan dolar bagi pelbagai tujuan di seluruh dunia termasuk inisiatif program kesihatan awam, pendidikan dan kebudayaan.

Sunday, June 26, 2011

MISTERI POHON BERINGIN DI JOGYA

SESIAPA yang berjaya berjalan melepasi dua batang beringin ini, permohonan mereka dipercayai akan dimakbulkan.

BARU-BARU ini ketika berkunjung ke Jogjakarta, Indonesia, bersama seorang teman, pengayuh beca kami, Mas Adi bercerita serba sedikit tentang misteri beberapa lokasi suci di sekitar wilayah itu. 

Antara yang disebutkan kepada kami ialah misteri beringin kembar yang terletak di Alun-Alun Selatan atau lebih dikenali dengan panggilan Alun-Alun Kidul yang terletak di dalam wilayah Keraton Ngayogyakarto. 

Ia bukanlah binaan lama seperti kompleks istana sultan atau keraton, apatah lagi candi yang menjadi tempat pemujaan kuasa agung seperti Borobudur atau Prambanan, sebaliknya ia cuma dua batang pohon beringin merimbun yang usianya mencecah ratusan tahun. 

Jika dilihat dari mata kasar, tiada apa yang menarik tentang pokok beringin kembar yang ditanam di kawasan istana sultan ini.

Namun, setelah melaluinya beberapa kali, tidak salah kalau penulis katakan ia adalah titik tumpu kepada kehidupan malam penduduk Jogjakarta. 

Jaraknya tidak terlalu lebar, kira-kira lima meter. Namun, tidak ramai yang boleh melepasi laluan angin tersebut. Bahkan, ramai yang akan melencong ke tempat lain atau melanggar konkrit yang memagari pokok berkenaan. 

Menurut Mas Adi, mengikut kepercayaan orang tua-tua, jika ada orang yang mampu berjalan lurus melepasi laluan di antara dua pohon beringin itu, hajatnya akan tercapai. 

“Namun, jika anda berhajat untuk melakukan acara ini, jangan sekali-kali mengintai keluar kerana ia boleh membawa anda akan masuk ke dunia lain.

“Anda akan merasakan Alkid begitu sepi malah sering ada yang mengadu mereka berjalan dalam satu kawasan yang kuat berangin, sedangkan persekitaran sebenar tidak begitu,” jelasnya yang belum pernah bertemu dengan kejadian pelik di situ. 

Penulis cuba mencari logik daripada kata-kata Mas Adi. Dalam hati terdetik, masakan boleh melencong sedangkan laluan itu lurus dan lebar?

Dengan sewaan kain penutup mata sebanyak Rp3,000 (RM1), penulis mula berjalan dari jarak 50 meter menuju ke laluan di antara pohon beringin itu. 

Langkah diatur cermat, gerakan juga perlahan kerana mahu memastikan kaki lurus ke hadapan. Rakan pengembara bertindak menjadi pengawal lalu lintas demi memastikan tiada orang yang melanggar dan dilanggar. 

Dengan mata yang ditutup rapat, penulis hanya mendengar sekali sahaja suara daripada rakan yang meminta diberi laluan. Selebihnya, penulis merasakan kawasan itu sunyi sepi.
Enggan memikirkan yang bukan-bukan, langkah diteruskan. Minda kuat mengatakan kaki mampu berjalan lurus. 

Kira-kira 100 langkah kemudian, rakan menyuruh penulis membuka mata. Alangkah terkejutnya, kaki yang diatur lurus tadi melencong hingga menghimpit ke arah pokok beringin yang ada di sebelah kiri. 

Mungkin betul kata Mas Adi, ramai yang merancang langkah dengan betul tetapi kaki tetap juga menuju ke arah lain. 
SUASANA di Alun-Alun Kidul yang terletak di wilayah Keraton Ngayogyakarto, Jogjakarta meriah pada waktu malam.

Syarat puteri
Berborak sebentar dengan pemilik kain hitam, Albertus Harjo Suwito yang telah menjadikan Alun-Alun Kidul sebagai tempat mencari nafkah selama 30 tahun, dia berkata ritual melewati dua pohon beringin yang disebut sebagai Ngalah Berkah itu bukan perbuatan tahyul. 

“Ia sekadar acara untuk melestarikan budaya dari zaman dahulu. Di samping itu, ia juga merupakan ritual biasa untuk memohon sesuatu kepada Tuhan. Sama ada dimakbulkan atau tidak, ia ketentuan Yang Maha Kuasa,” katanya. 

Bertanya lanjut mengenai kisah di sebalik acara Masangin ini, Albertus membuka cerita.
“Pada zaman dahulu, ketika Sultan Hamengkubuwono pertama memerintah, puterinya mahu dirisik oleh seorang pemuda namun empunya diri tidak menyukainya. 

“Lalu tuan puteri meletakkan syarat kepada baginda sultan jika ingin mencarikan jodoh untuknya.
“Jika ada lelaki yang ingin menikahi tuan puteri, dia harus berjalan dengan mata tertutup dari balai penghadapan melalui pohon beringin kembar di tengah-tengah Alun-Alun dan tamat di balai penghadapan yang terletak di bahagian selatan.

“Apabila pemuda itu gagal melalui pohon beringin berkenaan, mereka menganggapnya berhati busuk. 

“Selepas detik itu, sultan menitahkan kepada sekalian rakyat bahawa hanya pemuda yang hatinya bersih dan tulus mampu melalui laluan tersebut dan diberi peluang untuk menikahi puterinya,” katanya.

Masangin
Tumbuh merimbun di sebuah kawasan lapang yang membentuk seakan-akan bulatan besar, ia dikelilingi oleh jalan raya yang sentiasa padat dengan manusia. 

Menjelang pukul 5 petang, tanah datar Alun-Alun Kidul atau nama singkatannya Alkid, mula menjadi tumpuan ramai. 

Gerai-gerai jualan makanan turut dipasang. Paling terkenal di sini ialah minuman ronde, ia seperti laicikang namun rasanya lebih pedas dan berangin, hasil ekstrak halia yang dijadikan ramuan utama. 

Selain duduk bersila di atas hamparan tikar sambil menikmati hidangan malam dari gerai di seberang jalan, ramai juga yang berkunjung ke sini untuk bermain bersama anak-anak. Tidak ketinggalan, pasangan muda-mudi yang menjadikan dataran ini sebagai lokasi untuk bertemu janji.

Di satu sudut lain pula, ada yang mahu menimba pengalaman mengayuh basikal serta menaiki kereta kuda dan beca yang dihias indah dengan lampu warna-warni.

“Itu hanya aktiviti sampingan di sini. Ramai yang datang ke Alkid bukan sekadar untuk mengisi waktu malam, tetapi ramai yang datang ke sini untuk mencuba nasib,” ujar Mas Adi.

Usai meladeni gastronomi ala Jawa, penulis mencuba acara yang dinamakan Masangin iaitu berjalan di antara dua beringin yang ada di tengah Alkid dengan mata tertutup dengan kain hitam. 

Jaraknya tidak terlalu lebar, kira-kira lima meter. Namun, tidak ramai yang boleh melepasi laluan angin tersebut. Bahkan, ramai yang akan melencong ke tempat lain atau melanggar konkrit yang memagari pokok berkenaan. 

Menurut Mas Adi, mengikut kepercayaan orang tua-tua, jika ada orang yang mampu berjalan lurus melepasi laluan di antara dua pohon beringin itu, hajatnya akan tercapai. 

“Namun, jika anda berhajat untuk melakukan acara ini, jangan sekali-kali mengintai keluar kerana ia boleh membawa anda akan masuk ke dunia lain.

“Anda akan merasakan Alkid begitu sepi malah sering ada yang mengadu mereka berjalan dalam satu kawasan yang kuat berangin, sedangkan persekitaran sebenar tidak begitu,” jelasnya yang belum pernah bertemu dengan kejadian pelik di situ. 

Penulis cuba mencari logik daripada kata-kata Mas Adi. Dalam hati terdetik, masakan boleh melencong sedangkan laluan itu lurus dan lebar?

Dengan sewaan kain penutup mata sebanyak Rp3,000 (RM1), penulis mula berjalan dari jarak 50 meter menuju ke laluan di antara pohon beringin itu. 

Langkah diatur cermat, gerakan juga perlahan kerana mahu memastikan kaki lurus ke hadapan. Rakan pengembara bertindak menjadi pengawal lalu lintas demi memastikan tiada orang yang melanggar dan dilanggar. 

Dengan mata yang ditutup rapat, penulis hanya mendengar sekali sahaja suara daripada rakan yang meminta diberi laluan. Selebihnya, penulis merasakan kawasan itu sunyi sepi.
Enggan memikirkan yang bukan-bukan, langkah diteruskan. Minda kuat mengatakan kaki mampu berjalan lurus. 

Kira-kira 100 langkah kemudian, rakan menyuruh penulis membuka mata. Alangkah terkejutnya, kaki yang diatur lurus tadi melencong hingga menghimpit ke arah pokok beringin yang ada di sebelah kiri. 

Mungkin betul kata Mas Adi, ramai yang merancang langkah dengan betul tetapi kaki tetap juga menuju ke arah lain. 

Syarat puteri
Berborak sebentar dengan pemilik kain hitam, Albertus Harjo Suwito yang telah menjadikan Alun-Alun Kidul sebagai tempat mencari nafkah selama 30 tahun, dia berkata ritual melewati dua pohon beringin yang disebut sebagai Ngalah Berkah itu bukan perbuatan tahyul. 

“Ia sekadar acara untuk melestarikan budaya dari zaman dahulu. Di samping itu, ia juga merupakan ritual biasa untuk memohon sesuatu kepada Tuhan. Sama ada dimakbulkan atau tidak, ia ketentuan Yang Maha Kuasa,” katanya. 

Bertanya lanjut mengenai kisah di sebalik acara Masangin ini, Albertus membuka cerita.
“Pada zaman dahulu, ketika Sultan Hamengkubuwono pertama memerintah, puterinya mahu dirisik oleh seorang pemuda namun empunya diri tidak menyukainya. 

“Lalu tuan puteri meletakkan syarat kepada baginda sultan jika ingin mencarikan jodoh untuknya. 

“Jika ada lelaki yang ingin menikahi tuan puteri, dia harus berjalan dengan mata tertutup dari balai penghadapan melalui pohon beringin kembar di tengah-tengah Alun-Alun dan tamat di balai penghadapan yang terletak di bahagian selatan.

“Apabila pemuda itu gagal melalui pohon beringin berkenaan, mereka menganggapnya berhati busuk. 

“Selepas detik itu, sultan menitahkan kepada sekalian rakyat bahawa hanya pemuda yang hatinya bersih dan tulus mampu melalui laluan tersebut dan diberi peluang untuk menikahi puterinya,” katanya.

Sunday, June 5, 2011

SELAMAT DATANG BULAN REJAB

Rejab Bulan Allah ....Bulan Kemuliaan.

"Sesungguhnya di dalam Syurga terdapat satu sungai yang bernama Rejab, airnya terlebih putih daripada susu dan terlebih manis daripada madu ; barang sesiapa yang berpuasa sehari daripada bulan Rejab, maka Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai itu."
Hadis Rasulullah SAW

Sabda Nabi s.a.w.:
Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur'an atas segala kalam. Kelebihan syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia' (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.

Terdapat beberapa kelebihan puasa di bulan Rejab seperti disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani yg bermaksud

  • sesiapa yang berpuasa sehari pada bulan Rejab,maka ia seperti berpuasa setahun
  • berpuasa lebih daripadanya (tujuh hari), ditutup pintu2 Jahannam (neraka)
  • berpuasa 8 hari,dibukakan 8 pintu syurga
  • berpuasa 10 hari,tidak meminta dia kepada Allah melainkan diberikannya
  • berpuasa 15 hari,menyeru orang yang menyeru dari langit
"sesungguhnya diampunkan bagimu dosa-dosa yang lalu maka mulakanlah amal,dan barangsiapa menambah (hari puasa) Allah menambah (kelebihannya)."
 
credit to this blog for the info. 

Tuesday, May 24, 2011

PENEMBAK UPAHAN PALING MUDA DIPENJARA SEUMUR HIDUP

Petikan daripada Kosmo online.


SANTRE SANCHEZ GAYLE


LONDON – Seorang penembak upahan paling muda, Santre Sanchez Gayle yang menembak mati ibu muda, Gulistan Subasi pada Mac tahun lalu dihukum penjara seumur hidup oleh seorang hakim sebuah mahkamah di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Penembak upahan yang berusia 15 tahun semasa kejadian itu berlaku hanya dibayar sebanyak £200 (RM988) untuk membunuh Gulistan di rumah ibunya di Hackney, timur London dengan menggunakan selaras senapang patah. 

Dia dikatakan sepatutnya menerima £2,000 (RM9,882) sebagai upah melakukan pembunuhan itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Gayle membawa senapang itu di pintu masuk flat ibu muda tersebut sebelum menembaknya di bahagian dada di pintu rumah tersebut.

Ketika kejadian, ibu muda itu sedang melakukan persediaan untuk menyambut ulang tahun kelahiran seorang anaknya.

Gayle diarah untuk membunuh ibu muda itu oleh Izak Billy, 22, yang juga didapati bersalah melakukan pembunuhan dan dihukum penjara seumur hidup.

Bekas kekasih ibu muda itu, Serdar Ozbek, 28, sebelum ini dituduh mengarahkan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan bersama empat orang lagi.

Bekas kekasih itu dikatakan mengarahkan pembunuhan itu kerana bimbang Subasi akan membawa lari seorang anak lelaki mereka. – Agensi

Thursday, May 19, 2011

BENTUK TAPAK KAKI GERGASI DI SAWAH PADI

Aritu citer pasal UFO kat sini jugak. Sekarang bentuk tapak kaki gergasi  mungkin kat tempat yang sama. Jom baca sesama petikan daripada Kosmo online.

PENDUDUK di Sleman digemparkan dengan kemunculan satu bentuk kaki manusia gergasi di Minomartani, Ngaglik, Sleman pada Ahad lalu.

SLEMAN, Indonesia - Satu bentuk tapak kaki manusia gergasi ditemui di satu kawasan sawah padi di sini dengan ukuran seluas 3,000 meter persegi, lapor akhbar Tribunnews.com semalam.

Ia ditemui oleh pemilik sawah itu, Rebo Suwardi pada Ahad lalu pada pukul dua petang.
Menurutnya, bentuk itu disebabkan oleh angin dan sebahagian pokok padinya telah tumbang akibat ditiup angin kuat.

Dia berkata, selepas hujan turun dengan lebat, dia kembali melihat sawah tersebut dan mendapati terdapat bentuk seperti kaki manusia gergasi.

Bagaimanapun, polis di Sleman, Yogyakarta akan melakukan siasatan sama ada bentuk itu dibuat oleh manusia.

Seorang pegawai polis, Irwan Ramaini menyatakan pihaknya masih belum mengetahui siapa yang membuat bentuk tapak kaki manusia itu.

Sebelum ini, beberapa lingkaran misteri yang dikaitkan dengan objek terbang tidak dikenali (UFO) ditemui di kawasan sawah padi Pulau Jawa.

Bentuk lingkaran misteri yang dalam pelbagai bentuk itu pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat. - Agensi

Wednesday, May 18, 2011

GAMBAR HANTU MAIN LAPTOP DI PEJABAT

Credit to this blog for this. Ni mesti hantu zaman sekarang.



Dalam foto tersebut, nampak hantu wanita berambut panjang dengan mengenakan pakaian putih sedang duduk di depan laptop. Namun dia hanya terdiam membisu di tempat duduknya, sambil memandang penuh dengan wajah penasaran terhadap laptop itu.

Berdasar data yang dihimpun, foto sosok hantu itu diambil menggunakan kamera Samsung GT-S5830, Khamis (5/5/2011) pukul 12:22:41 WIB. Hingga kini belum dikatahui siapa yang merakam sosok hantu tersebut. Semua pegawai yang ditemui wartawan pun mengaku tidak mengetahui.

Banyak dari pengawai yang mengaitkan kemunculan hantu perempuan tersebut dengan gedung Darmoyuda, yakni bekas bangunan penyimpanan fail bahagian kewangan di komplek pejabat pemkab. Sejak terbakar 9 March 2009 lalu, bangunan tersebut masih dibiarkan kosong.

BUDAK TERSEPIT DICELAH DINDING

BEIJING - Seorang budak lelaki dari Daye di wilayah Hubei tengah China tersepit di celah dinding bangunan selama tiga jam sebelum diselamatkan beberapa anggota bomba, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak lelaki itu bersembunyi di celah ruang kecil berukuran 15 sentimeter di antara dua bangunan semasa dia bermain permainan sembunyi bersama rakan-rakannya baru-baru ini.

WAJAH budak lelaki yang tersepit di celah dua bangunan di Daye, tengah China. 

Pihak bomba dihubungi selepas beberapa rakan dan orang ramai gagal menariknya keluar dari celah bangunan itu.

Beberapa anggota bomba bertindak memasuki salah sebuah bangunan bagi memecahkan dinding berhampiran budak itu untuk menyelamatkannya. - Agensi