NATURAL REMEDIES

ISLAMIC CALENDAR

Tuesday, July 27, 2010

Skim Pengeluaran Kesihatan KWSP tambah senarai penyakit

KUALA LUMPUR 26 Julai – Senarai penyakit kritikal di bawah Skim Pengeluaran Kesihatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah ditingkatkan daripada 13 kepada 39 jenis penyakit mulai 15 Jun lalu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, senarai terkini penyakit kritikal dalam senarai skim tersebut termasuk anemia aplastik, kegagalan buah pinggang, penyakit Parkinson, hilang upaya kekal, lelah yang teruk, leukemia dan masalah daya fikir akibat penyakit atau kemalangan.

“Sehingga Jun 2010, seramai 93,914 pencarum telah membuat pengeluaran berjumlah RM500.8 juta melalui skim ini sejak ia diperkenalkan pada 1 November 1994.

“Bagi 2009, seramai 4,601 pencarum telah mengeluarkan sebanyak RM37.3 juta di bawah skim ini sementara 1,794 pencarum lagi telah mengeluarkan RM14.4 juta sehingga Jun 2010.

“Sebahagian besar pencarum yang mengeluarkan simpanan melalui skim ini merupakan yang berpendapatan kurang RM2,500 sebulan (71 peratus) sementara selebihnya terdiri daripada yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM4,999 (17 peratus), RM5,000 hingga RM9,999 (sembilan peratus dan lebih RM10,000 sebulan (tiga peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Senator Ir. Zamri Yusuf pada sidang Dewan Negara hari ini.

Zamri dalam soalannya meminta Najib selaku Menteri Kewangan menyatakan senarai penyakit kritikal yang membolehkan seorang pencarum KWSP mengeluarkan simpanan untuk tujuan rawatan diri dan tanggungan mereka di samping bilangan pencarum dan jumlah yang telah dikeluarkan di bawah skim tersebut.

Skim Pengeluaran Kesihatan yang diluluskan Lembaga KWSP bertujuan membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan Akaun 2 mereka untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal yang dihidapi ahli dan tanggungan mereka.

Menurut Najib, bayaran kepada pemohon dibuat dalam tempoh tidak melebihi 21 hari bekerja dari tarikh permohonan diterima KWSP sekiranya semua maklumat yang dikemukakan ahli lengkap dan teratur.

sumber dari sini

No comments:

Post a Comment

nisa